Wednesday, 19 June 2013

Bahaya Antibiotik Kepada Bayi

Umar menangis sebab taknak makan antibiotik setelah dia tahu bahaya antibiotik pada bayi
 Kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke bawah sering diserang penyakit seperti demam, batuk dan selsema. Anak saya mudah dijangkiti batuk dan selsema dari anak-anak jiran atau orang dewasa yang menghidapnya. Batuk dan selsema ini biasanya akan menyebabkan Umar demam, mudah meragam, hidung tersumbat dan hilang selera makan. Saya sering membawa Umar ke klinik kemudian dibekalkan ubat-ubatan termasuklah antibiotik. Persoalan yang timbul, selamatkah antibiotik kepada bayi seperti Umar?
Maka dengan gigihnya si ibu ini pun meneroka alam maya mencari jawapan bagi persoalan tersebut dan terjumpa hasil tulisan Dr Zubaidi di blog beliau di http://drzubaidi.com. Kat sini saya kongsikan hasil pembacaan saya.
 
Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk membunuh atau menghalang pembiakan bakteria. Jadi antibiotik bukanlah rawatan yang berkesan untuk merawat demam, selsema dan batuk yang berpunca daripada virus. Ini kerana, virus tidak dapat dikawal dan dibunuh menggunakan antibiotik. Antibodi yang terdapat dalam tubuh bayi itu sendiri yang akan mengawal jangkitan oleh virus. Oleh kerana virus tidak dapat dirawat dengan antibiotik, maka pengambilan antibiotik adalah sesuatu yang sia-sia malah mungkin merbahaya.

Penggunaan antibiotik secara sebarangan dan keterlaluan akan menyebabkan bakteria yang tidak dirawat dengan sempurna akan menjadi lali dan kebal terhadap antibiotik yang diberi. Ini akan menyebabkan sesuatu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria itu menjadi semakin sukar untuk dirawat.

Bakteria yang lali dan kebal ini disebut sebagai antibiotic-resistant bacteria akan mudah merebak di kalangan ahli keluarga, rakan-rakan sekolah atau kanak-kanak yang berada di pusat asuhan kanak-kanak. Masalah kekebalan kepada antibiotik adalah masalah yang amat serius dalam dunia perubatan masa kini. 

Antibiotik sepatutnya dianggap sebagai senjata yang paling berkesan untuk merawat jangkitan bakteria, tetapi malangnya kehadiran bakteria yang kebal terhadap antibiotik menyebabkan ubat antibiotik yang digunakan tidak dapat berfungsi dengan berkesan. 

Masyarakat tidak mengetahui kesan buruk akibat jangkitan kuman yang telah mengalami kekebalan terhadap antibiotik. Kebanyakan pesakit terlantar di ICU dengan demam yang tinggi tidak dapat dirawat lagi dengan mana-mana antibiotik.

Sebagai kesimpulan, antibiotik bukan jawapan kepada semua jangkitan kuman yang menyebabkan demam, batuk dan selsema di kalangan kanak-kanak dan bayi.

Antibiotics don't work on colds or most coughs and sore throats




No comments: