Risaunya hatiku melihat anak kesayangan demam
Cuaca panas dan berjerebu kini amat membimbangkan lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang mempunyai bayi macam saya. Jika suhu badan bayi kita mulai meningkat dan dia menangis tak henti-henti sukar untuk kita tidak risau walaupun seperti yang kita tahu demam jarang membawa bahaya.
Apa Itu Demam?
Demam ialah apabila suhu badan meningkat melebihi suhu badan normal. Suhu badan normal untuk bayi yang sihat adalah dari 36.5 darjah C hingga 37.8 darjah C. Suhu badan bayi adalah lebih tinggi daripada suhu badan kanak-kanak yang lebih besar. Secara amnya suhu badan manusia termasuklah bayi selalunya akan naik pada waktu siang dan menurun pada waktu malam. Bayi dianggap demam apabila suhu badannya melebihi 37.7 darjah C pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah C pada waktu petang.
Kenapa Bayi Kita Demam?
Bayi lazimnya demam selepas menerima suntikan imunisasi. Bayi yang demam juga sering diikuti oleh selsema, flu, batuk, sakit tekak, jangkitan telinga, penyakit respiratori, krup, penyakit virus dan jangkitan salur urinari.
Cara Mengesan Demam Bayi
Kita boleh mengetahui dengan mudah bahawa anak kita demam dengan cara menyentuh atau mencium dahinya. Gunakan termometer untuk mengetahui bacaan suhu badan anak dengan lebih tepat. Jangan gunakan termometer oral (mulut) untuk bayi yang berusia 3 tahun ke bawah. Bagi bayi yang berusia 3 tahun ke bawah ini, bacaan suhunya boleh diambil dari ketiaknya. Caranya ialah dengan memegang hujung termometer dengan ketiak bayi dengan sikunya rapat ke sisi. Tunggu sehingga termometer berbunyi "beep" apabila suhu diambil (termometer digital).
Contoh termometer digital
Merawat Demam Bayi
1) Pakaikan bayi anda dengan baju kain kapas yang nipis. Jangan membalut bayi yang demam kerana ini hanya akan memburukkan lagi demam bayi.
2) Pastikan bilik bayi sejuk. Ibu-ibu boleh meletakkan kipas berhampiran katil bayi dan gunakan sehelai cadar atau selimut yang nipis untuk menyelimut bayi.
3) Berikan bayi banyak cecair. Bayi yang masih kecil memerlukan lebih banyak air dari biasa semasa demam iaitu susu ibu atau susu formula. Jika anda telah memberikan minuman lain kepada bayi anda, berikan lolipop ais, sup jernih atau jus buah-buahan yang telah dicairkan.
4) Cuba mandian berspan. Letakkan bayi dalam tub mandi yang cetek dengan air yang suam dan gosokkan badannya satu bahagian pada satu masa dengan kain flanel atau span yang diperah sedikit. Jangan keringkan badan bayi anda. Biarkan air tersejat sendiri. Ini mungkin membuatnya lebih selesa.
5) Jika anda mahu memberikan bayi anda ubat bagi melegakan demamnya sila dapatkan nasihat doktor atau mereka yang arif mengenai sukatan ubat tersebut. Jangan memberi bayi anda apa-apa ubat tanpa nasihat mereka kerana ini akan membahayakan nyawa bayi jika ubatan atau sukatan yang salah diberikan.
6) Pastikan suhu badan bayi anda sentiasa dipantau ketika dia demam. Bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan lanjut jika suhu badan bayi anda naik mendadak dan bayi anda masih demam.
Perkara Jangan Ketika Bayi Demam
1) Jangan membungkus bayi yang demam. Haba panas dari badan bayi tidak akan lepas keluar jika anda membalut bayi anda. Ini akan memburukkan lagi demam bayi.
2) Jangan hanya letakkan bayi terbaring di atas katil. Walaupun dia tidak boleh terlalu aktif, aktiviti sederhana adalah baik bagi bayi yang demam.
3) Jangan biarkan anak anda kelaparan. Bayi yang demam memerlukan banyak kalori dan cecair. Jika bayi kurang berselera cuba pujuk bayi anda. Anda boleh memberikan anak anda makan dan minum sedikit-sedikit tetapi kerap untuk memastikan perut bayi tidak kosong.
4) Jangan terlampau risau. Sesetengah bayi yang demam masih berkelakuan seperti biasa. Sesetengah yang lain mungkin akan sedikit meragam tetapi dengan jagaan yang baik dan kasih sayang seorang ibu, bayi akan kembali sihat semula dengan segera.
Seronoknya apabila anak yang demam kembali sihat dan tersenyum riang
No comments:
Post a Comment