Wednesday, 26 June 2013

Saya Takut Nak Potong Kuku Bayi Saya!!!

Kuku 'pertama' Umar

Nak flashback kejap....Seronok masa baru jadi ibu. Baru beberapa minit Umar di dalam pelukan buat pertama kali, saya meneroka setiap inci wajahnya kemudian saya sentuh wajah comel tu dan mencium lembut pipi dan dahinya. Kemudian saya memegang tangannya buat pertama kali dan ALAMAK!! Panjangnya kuku. Hehehe kecik-kecik dah pandai simpan kuku ye.

Sebagai seorang ibu baru, soal memotong kuku bayi yang baru lahir tak pernah terlintas di fikiran saya hinggalah saya perasan kukunya yang panjang. Yang bermain di fikiran saya masa tu ialah saya takut nak potong kuku Umar. Jadi saya buat keputusan untuk menyerahkan tugas memotong kuku Umar pada ibu atau ibu mertua saya. Ok, problem solved! Tapi betul ke yang masalah saya tu dah selesai 100%?

Kuku bayi walaupun nampak lembut dan nipis tapi sebenarnya sangat tajam dan tumbuh dengan cepat. Mesti ibu-ibu yang ada newborn baby setuju dengan saya ni kan. Kadang-kadang harini saya potong kuku Umar, esok dah tajam semula.

Mula-mula memang saya berniat nak serahkan tugas memotong kuku Umar pada nenek dia tapi rupanya mak mertua dan mak saya tak berani atas alasan diorang rabun dekat. Dan diorang bukan tiap-tiap hari berada bersama kami sebab ketika Umar dalam pantang, kami tinggal di rumah sendiri jauh dari pengawasan mak. Hehehe saya tak sanggup nak ikut pantang larang orang-orang tua yang ketat. Kalau kat rumah sendiri boleh mengelat.

Tahukah anda, pakar menyarankan anda memotong kuku tangan bayi sekurang-kurangnya 2 hari sekali dan kuku kaki bayi seminggu sekali sebab pertumbuhan kuku kaki lagi lambat dari kuku tangan. Saya memang takut nak potong kuku Umar sebab saya bimbang saya akan mencederakan dia. Sebab tu saya lebih suka memakaikan sarung tangan pada Umar. Tujuan saya supaya kuku yang tajam tu tak mencederakan muka Umar. Tak hensem lah nanti anak ibu kalau muka calar-calar.

Kemudian saya terbaca satu artikel yang mengatakan, dari sudut kesihatan pemakaian sarung tangan pada bayi akan menghalang perkembangan motorik halus dan pancaindera sentuhnya. Pernah juga ketika saya membawa Umar ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, untuk pemeriksaan rutin Umar, nurse yang bertugas menyuruh saya menanggalkan sarung tangan Umar atas alasan yang sama. Jadi, Umar hanya memakai sarung tangannya sehingga dia berusia 2 bulan.

Cara saya menjaga kuku Umar:
  1. Saya memotong kuku Umar ketika dia sedang tidur. Masa dia tidur, genggaman tangannya terbuka (biasanya hero ni suka mengepal tangan macam penumbuk). Kalau dia berjaga, memang kuat dia genggam penumbuk hingga saya tak mampu nak leraikan penumbuk kecik tu bimbang dia sakit jika dipaksa buka penumbuk comel tu. Untuk kaki, masa tengah tidur juga kaki dia tak menendang-nendang. Jadi tak menganggu proses memotong kuku.
  2. Saya memotong kuku Umar selepas dia mandi. (kuku saya juga saya potong selepas mandi) Sebab selepas mandi kuku jadi lebih lembut. Lagipun si Umar lebih mudah tertidur lepas mandi.
  3. Saya memotong kuku Umar pada waktu pagi disebabkan faktor cahaya. Cahaya matahari siang lebih baik dari cahaya lampu. Jadi pandangan mata saya jelas untuk memotong kuku kecik tu.
  4. Sebelum memotong kuku Umar, saya akan memastikan semua alatan memotong kuku seperti pemotong kuku, cotton bud dan alat mengukur kuku ada dekat dengan saya. Jangan lupa sediakan juga kapas yang dibasahi spirit. Letak je kat tepi kita. Senang nak dicapai tangan.
  5. Gunakan alat pemotong kuku khas untuk bayi. Jangan guna pemotong kuku kita plak. Ada dua jenis alat pemotong kuku bayi iaitu baby nail scissors (gunting khusus yang hujungnya berbentuk bulat tumpul) dan baby nail clipper (bentuk seperti pemotong kuku dewasa tetapi lebih kecil dan ada perlindung di kedua-dua sisinya). Umar menggunakan baby nail clipper sebab saya lebih yakin menggunakan pemotong kuku yang berbentuk sama dengan pemotong kuku dewasa.
  6. Sebelum memotong kuku bayi, bersihkan hujung pemotong kuku tersebut tak kiralah yang menggunakan baby nail scissors atau pun baby nail clipper. Bersihkan kotoran di sebalik kuku bayi menggunakan cotton bud yang dibasahkan dengan air suam. Jangan menggunakan benda tajam macam hujung gunting untuk membersihkan celahan kuku bayi.
  7. Disebabkan saya agak takut memotong kuku Umar, bimbang terluka, saya tak potong semua kuku tetapi saya tinggalkan lebih kurang 1 mm. Yang tertinggal sikit ni kemudian saya akan kikir dengan lembut menggunakan alat mengukur kuku. Bukan nak habiskan cuma nak tumpulkan kuku tu je.
  8. Pernah tak Umar terluka masa saya memotong kuku dia? Alhamdulillah tak pernah. Tapi anak saudara saya pernah terluka ketika ibunya memotong kukunya. Kalau bayi terluka, jangan panik. Masa nilah gunanya kapas yang dibasahi spirit yang saya bagitau kat no 4 tadi. Kapas ni yang macam nurse sapu pada kita bila nak inject kita tu. Kalau bayi terluka, tekan luka tersebut dengan kapas yang dibasahi spirit. Tekan hingga darah berhenti.
Dah tahu cara-cara nak menjaga kuku bayi, jadi lepas ni jangan takut dah nak memotong kuku bayi baru lahir anda. Ingat, bila bayi semakin besar, semakin cerdik dan semakin kurang tidur, proses memotong kuku dia akan jadi lebih mencabar. Macam Umar sekarang. Dia memang tak suka potong kuku dan dia lebih tertarik untuk memegang pemotong kuku tu. Lebih mudah memotong kuku bayi baru lahir dari memotong kuku bayi yang dah pandai macam-macam.


*** Kenyataan atau produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit..Hubungi saya di 019-9084549 (call/sms) atau email razfura@gmail.com untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.***

No comments: