Thursday 20 June 2013

Tips Penjagaan Vagina


Bahagian intim wanita adalah organ yang paling penting bagi setiap wanita. Penjagaan alat sulit atau alat kelamin wanita ini amat penting kerana ia sangat berkaitan dengan sistem reproduktif wanita, pengeluaran darah haid, hubungan seks dan juga kehamilan. Wanita samada yang sudah berkahwin atau tidak yang mengalami masalah pada alat sulitnya akan berasa gelisah, tak selesa dan berasa rendah diri. Di sini, ada beberapa tips penjagaan alat sulit wanita yang boleh diamalkan untuk kesihatan vagina anda.

1) Bersihkan bahagian luar vagina selepas membuang air kecil atau air besar menggunakan air.

2) Ketika haid, hendaklah kerap menukar tuala wanita lebih-lebih lagi pada hari aliran banyak. Darah adalah medium yang paling sesuai untuk kuman membiak. Wanita yang menggunakan tampon harus ingat untuk mengeluarkannya.

3) Tukar seluar dalam setiap hari. Jika mengalami keputihan, pakailah panty liner supaya kotoran tidak melekat pada seluar dalam yang akan menyebabkan ketakselesaan. Pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kain kapas.

4) Elakkan daripada menggunakan sabun atau showe gel untuk mencuci alat sulit kerana bahan ini akan menyebabkan kekeringan vagina yang akan menyebabkan iritasi dan kegatalan.

5) Suami isteri hendaklah membersihkan alat kelamin dengan menggunakan air sebelum dan selepas hubungan kelamin. Amalkan membuang air kecil setengah jam selepas hubungan seks untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing.

6) Wanita yang mengalami masalah keputihan hendaklah segera berjumpa doktor sebelum masalah yang lebih serius terjadi kepada alat sulit anda.

7) Gunakan pencukur yang bersih untuk membuang rambut alat sulit.

8) Wanita yang mengalami keputihan harus tahu membezakan antara keputihan biasa ataupun keputihan yang berpenyakit.

9) Elakkan dari memasukkan jari atau pancutan air ke dalam alat sulit untuk tujuan mencuci bahagian dalam vagina. Perbuatan ini akan membunuh bakteria baik dari alat sulit.

10) Kenali dan peka dengan tanda-tanda keputihan yang berpenyakit iaitu penukaran dari warna jernih kepada warna kekuningan atau kehijauan atau berdarah. Keputihan yang banyak, berketul-ketul kecil, gatal dan berbau adalah tanda keputihan yang berpenyakit. Sekiranya jangkitan merebak ke pangkal rahim atau sistem peranakan, wanita akan merasa sakit pada bahagian abdomen dan mengalami demam.

11) Kebanyakan wanita tidak memerlukan produk atau ubat penjagaan alat kelamin. Ubat hanya perlu diambil bagi rawatan jangkitan kuman dan keputihan yang tak normal sahaja. Dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan ubat pada alat kelamin.

12) Sesetengah wanita suka menggunakan produk yang terdapat di pasaran untuk membersihkan alat kelamin mereka. Wanita ini harus memastikan bahawa mereka menggunakan pencuci yang tidak mendatangkan kesan sampingan, yang tidak mengubah ph faraj dan telah diuji kebersihannya.

Ketahuilah bahawa alat sulit wanita itu sendiri mempunyai mekanisme semulajadi untuk membersihkan diri. Memadai hanya dengan menggunakan air bagi tujuan pembersihan. Ingatlah bahawa vagina kita tu sangat beharga dan hanya ada satu dan yang paling penting ia tidak boleh dikitar semula hehehehe.